Thursday, November 5, 2009

Perkhabaran dari bukit.

Pagi tadi tatkala saya membenamkan mata pisau ke batang getah tua peninggalan ayah, terdengar bunyi kera berbisik-bisik. Dengan suara yang kadang jelas kadang perlahan, dapat juga saya mencuri dengar buah butir bisikan itu. Terganggu juga oleh jeritan siamang yang tiba-tiba meninggikan suara. Rupanya kera-kera ini bercerita kisah tuan guru yang di heret dan dipasungkan oleh wakil bendahara. Alkisahnya bendahara ini tidak menyukai akan orang-orang yang tidak memuji dan memuja beliau. Kera-kera ini juga mendapat khabar, akan mamak bendahara ini ada penyakit gagap yang melampau.Wah, banyak benar kera-kera ini tahu cerita dari negeri nan jauh. Disambung lagi, di negeri berkenaan telah ramai pembesar yang tidak menyukai bendahara gagap ini. Ada yang berpura-pura dan ada yang menikam bendahara gagap dari belakang.Kera yang paling muda menambah, istana bendahara gagap ini, di busut damansara namanya, masih lagi berhutang dengan tukang-tukang dari benua China dan India. Berlaksa-laksa hutangnya itu.Bendahara gagap ini juga pandai berniaga, dagangannya ada diseluruh alam, akan tetapi hutangnya juga amatlah banyak. Kera tua menggeleng kepala, saya terkedu kerana tidak tahu buah butir cerita, kera-kera bertempiaran lari kerana ada harimau lalu, cerita terputus. Esok mungkin ada cerita lagi.

Selamat bertemu.

Salam sejahtera kepada semua pembaca yang dihormati. Ruangan yang ada guna untuk mencambah pandangan dari ruang lingkup kehidupan saya yang sangat terbatas.Hampir setiap waktu, jarak pandang saya dilindungi oleh pokok merbau dan meranti. Mata tidak cukup gagah untuk menembusi bukit-bukit yang ada. Kadang-kadang fikiran terganggu juga oleh khabar yang datang dari luar. Kisah-kisah dari negeri dibawah angin dan di atas angin. Khabarnya Negeri Turki telah pun tunduk kepada Rom, Sultan Acheh telah dimakzulkan dari takhtanya dan yang sangat menyayat hati Melaka telah alah ketangan Benggali Putih.Kalau ada pembaca kisah-kisah yang lebih benar mohon khabarkan juga kepada sahaya.